Skip to main content

NATRAH...




NAMA Natrah kedengaran kembali selepas tidak disebut langsung sejak kali terakhir kedatangannya ke Malaysia, 10 tahun lalu. Namun kali ini beritanya diiringi khabar yang menyentuh hati sesiapa saja yang pernah menelusuri kisah suka duka wanita Belanda ini menerusi penulisan Datin Fatini Yaacob, bekas wartawan Dewan Masyarakat pada lewat 1980-an – Natrah sudah meninggal dunia.

Generasi hari ini mungkin tertanya-tanya siapa Natrah? Apa istimewanya wanita ini sehingga berita kematiannya mendapat liputan meluas media tempatan, kelmarin.

“Beliau sememangnya istimewa kerana Natrah akan terus hidup dalam sejarah Melayu dan Islam. Isunya sentiasa relevan dan menjadi penanda aras kepada undang-undang Islam,” kata Fatini ketika ditemui di kediamannya di Shah Alam, baru-baru ini.

Natrah Maarof atau nama asalnya Maria Bertha Hertogh mati akibat leukemia di rumahnya di Huijberhen, selatan Belanda pada usia 72 tahun.

‘Hebatnya’ Natrah kerana kesan kehadirannya yang menjadi pertikaian antara bapanya yang berbangsa Belanda dengan ibu angkatnya dari Malaysia, sehingga mencetuskan rusuhan pada 1950 di Singapura yang menyebabkan 18 maut dan beratus-ratus lagi cedera selepas mahkamah memerintahkan beliau dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya.

Kematiannya membangkitkan kepentingan memperbetulkan laporan mengenai Natrah oleh media Barat yang memutar belitkan fakta.

“Perspektif yang salah mengenai Natrah dan ceritanya perlu diperbetulkan. Laporan media Barat menggambarkan seolah-olah orang Islam begitu agresif dan tidak menghormati keputusan mahkamah mengembalikan Natrah yang beragama Islam ke pangkuan ibu bapanya yang menganut Kristian sehingga tercetusnya rusuhan yang menyebabkan kematian.

“Namun cerita sebenar di sebalik rusuhan itu tidak pernah dilaporkan. Tiada satu laporan menyatakan rusuhan pada 1950 itu akibat kemarahan orang Melayu kerana akhbar Straits Times ketika itu berulang kali menyiarkan gambar Natrah melutut di depan patung Virgin Mary.

“Orang Melayu ketika itu menghormati keputusan mahkamah dan menerima hakikat kehilangan Natrah tetapi kemarahan mereka memuncak dengan penyiaran gambar itu. Ada pihak sengaja berbuat demikian dan media Barat mengambil kesempatan menjadikan laporan rusuhan itu untuk menunjukkan keburukan orang Timur.

“Bagaimana pula penerimaan penganut Kristian jika seorang kanak-kanak Kristian dipakaikan telekung dan dipaksa bersolat? Itulah yang dirasakan umat Islam yang melihat gambar itu,” katanya.



Natrah anak Adeline Hunter dan Adrianus Petrus Hertogh, yang ditawan tentera Jepun pada 1942 di Indonesia.

Oleh kerana semangat anti-Barat begitu kuat di Indonesia, Natrah diserahkan ibunya kepada Che Aminah Mohamad dari Terengganu yang ketika itu berada di Indonesia tanpa pengetahuan bapanya. Che Aminah menukar nama Bertha kepada Natrah dan memeliharanya seperti anak sendiri serta diberi didikan Islam.

Selepas perang 1945, Hertogh dibebaskan dan berusaha mencari Natrah. Selepas ditemui, Che Aminah diperdaya membawa Natrah ke Singapura untuk bertemu bapanya, tanpa menyedari muslihat Hertogh untuk mengambil kembali anaknya itu.

Tindakan Hertogh mendorong Che Aminah memfailkan rayuan di mahkamah dan berjaya mendapat Natrah semula. Beliau kemudian dikahwinkan dengan Mansor Adabi pada usia 13 tahun.

Bagaimanapun, pada 12 Disember 1950, mahkamah mengarahkan supaya Natrah diserahkan kepada bapanya dan pulang ke Belanda. Keputusan itulah yang menjadi titik tolak kepada penderitaan dan kesengsaraan ditanggung Natrah sehingga mati.

“Natrah menderita kerana beliau tidak belajar memaafkan masa lalu. Terus terang, rasanya saya lebih mengenali Natrah daripada beliau mengenali diri sendiri. Jika boleh, saya ingin membawa Natrah ke dunia lain, keluar daripada ketakutannya dan beri pemahaman kepadanya mengenai takdir.

“Beliau tidak tahu menguruskan penderitaannya. Pegawai British yang bertugas di pusat kebajikan sosial ketika Natrah diletakkan di situ sementara menunggu keputusan mahkamah, pernah menulis dalam bukunya pada 1977 bahawa Natrah akan menderita sepanjang hidup kerana paksaan yang dikenakan ke atasnya.

“Ramalan itu menjadi kenyataan 20 tahun kemudian. Penderitaan dan ketakutan yang selama ini menyelubungi hidupnya dibawa sehingga mati,” kata Fatini.

Sepanjang empat bulan menyelidik kisah berdarah itu, Fatini berkata, antara episod paling menyentuh hatinya ialah kesucian cinta antara Natrah dan suami yang tidak pernah berkesempatan menyentuhnya, Mansur Adabi, biarpun Natrah isterinya yang sah.

“Cinta mereka sejati. Cinta pertama yang dibawa mati. Bayangkan mereka cuma bernikah gantung dan belum lagi melakukan hubungan suami isteri. Biarpun dipisahkan tetapi cinta mereka tidak pernah mati.

“Air mata Natrah bergenang apabila saya menyebut mengenai Mansor ketika pertemuan kami. Cuma cinta mereka mustahil dijelmakan dalam bentuk untuk dapat bersatu semula sebagai suami isteri.

“Apabila televisyen Belanda menyiarkan dokumentari mengenai Mansor yang hidup senang dan bahagia dengan isteri baru, Natrah mengamuk. Beliau begitu tertekan sehingga ke tahap cuba membunuh suaminya,” katanya.

Dihimpit kesengsaraan dipisahkan daripada ibu angkat dan suami dikasihi, Natrah mencari kebahagiaan dengan mengumpul wang. Namun itu juga tidak membahagiakannya.

“Saya berharap generasi muda mengambil iktibar daripada peristiwa itu. Kita perlu faham undang-undang sivil dan syariah dalam hak kekeluargaan kerana ketidakfahaman undang-undang menyebabkan Natrah terlepas daripada tangan orang Islam.

“Golongan muda juga perlu tahu isu itu meletakkan Malaya ketika itu dalam peta dunia, tarikh itu dimuatkan dalam muka depan akhbar seluruh dunia kerana ada pertembungan agama, budaya dan ia diperbesar-besarkan,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

HIDUP...

resah aku menatap buku kenangan.... buku yang diwarnai tinta-tinta suka dan duka seorang insan.. insan sepi... insan luka.. insan bahagia...insan curiga... tangis dan nangis.. tawa dan ria.. Sudah tebalkah rasa tabah ku? sudah tepukah rasa kuat ku? sehingga berani menolehi satu persatu halaman buku kenangan kehidupan laluku.. atau.. akukan tejelopok dibumi rindu... mencakar-cakar tanah dendam... pada insan-insan yang telah memberikan kan aku kenangan...suka dan duka atau.... aku tetap seperti ini...? tegar hadapi segalanya.... tak seperti dulu lagi... selama nya.....

FAMOUS AMOS HORLICKS COOKIES

Bahan-bahan: 1 buku buttercup 1 1/2 cawan gula castor 1 biji telur 1 penutup esen vanilla 1 sudu besar soda bikarbonat 1sudu besar baking powder 1 cawan minyak masak 3 1/2 cawan tepung gandum 1 1/2 cawan tepung jagung 1 1/2 cawan horlicks 1/2 cawan susu tepung 1 cawan almond nibs (bakar dahulu dalam 5 minit) 1 cawan beryls milk choc coin 1/2 cawan dark choc chip 1/2 cawan caramel chip  Cara-cara: Satukan butter, gula castor, telur dan esen vanilla. Kacau dengan senduk hingga sebati. Masukkan horlicks, susu tepung, soda bikarbonat, baking soda, tepung gandum dan tepung jagung. Kacau hingga sebati. Kemudian tuangkan minyak sedikit demi sedikit sehingga adunan konsisten. Kacau lagi. Adunan akan menjadi sedikit lembik, jangan risau. Masukkan choc coins, almond nibs, dark choc, caramel chip. Kacau hingga sebati. Masukkan ke dalam chiller dalam 15 minit. Cubit atau masukkan ke dalam piping bag. Bentukkan bulat kecil dan letakkan atas loyang. Bakar dengan suhu 150 degree atau selama 15 mi...

Kebaikan Membanyakkan Selawat...

Hadith : Nabi s.a.w bersabda: "Malaikat yang di sebelah kanan (yang menjadi penulis kebaikan) ialah ketua kepada yang di sebelah kiri; maka apabila seseorang melakukan sesuatu kebaikan, dituliskan baginya kebaikan itu menjadi sama dengan sepuluh kebaikan yang tersebut, dan apabila ia melakukan sesuatu kejahatan, lalu Malaikat yang di sebelah kiri hendak menulisnya, berkatalah Malaikat yang disebelah kanan: "Tunggu dahulu;" lalu ia menunggu selama enam atau tujuh jam; kemudian jika orang itu beristighfar dari perbuatan jahat itu, tidaklah dituliskan sesuatu pun; dan jika ia tidak meminta ampun kepada Allah Taala, dituliskan baginya satu kejahatan sahaja." Abu Umamah r.a